PANDUAN MEMILIKI RUMAH PERTAMA SEBELUM MENCAPAI USIA 30 TAHUN

 

Siapa sahaja yang tidak pernah bermimpi untuk memiliki rumah sendiri pada usia yang masih muda ? Melihat kepada peningkatan harga sesebuah unit rumah dari semasa ke semasa, ramai anak muda telah mula berkira-kira untuk memiliki rumah pertama mereka sebelum mencapai usia 30 tahun. Namun begitu, adakah perkiraan mereka itu tepat semuanya ? Di sini terdapat beberapa panduan yang mungkin boleh dijadikan rujukan. Antaranya:

  1. Menabung

Nampak mudah tetapi tidak ramai yang mampu terus konsisten dalam menabung. Untuk tabungan yang lebih sistematik, buat perkiraan secara kasar jumlah wang yang dapat disimpan setiap bulan daripada gaji anda. Asingkan terus wang untuk tabungan dan untuk perbelanjaan. Ini sangat membantu dalam memastikan jumlah tabungan bulanan anda sentiasa konsisten kecuali jika berlaku perkara yang tidak dijangka seperti mengalami kemalangan dan memerlukan kos pembiayaan yang mahal. Jumlah tabungan bulanan anda mungkin berubah tetapi tidak akan terlalu terjejas jika anda memulakan amalan menabung dari awal lagi.

  1. Tambah pendapatan

Salah satu cara untuk mencapai jumlah wang yang diperlukan untuk memiliki rumah idaman anda lebih awal, adalah dengan mencari sumber pendapatan kedua. Ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan total simpanan wang bulanan anda. Ia juga bagi menampung perbelanjaan asas yang sepatutnya ditampung melalui sumber pendapatan pertama. Ada pelbagai cara untuk menambah pendapatan seperti bisnes secara online, kerja secara ‘part-timer’, dropshiper, ejen takaful dan sebagainya. Antara mahu atau tidak sahaja.

  1. Elakkan berhutang

Ukur baju di badan sendiri. Ajar diri untuk membeli secara tunai. Sebolehnya elakkan daripada berhutang. Jangan ikut cara orang. Jika ingin merasa hidup senang, bergaya dan mewah, berusahalah. Jangan sesekali bergaya dengan cara berhutang. Ramai antara kita yang mudah terleka ketika berbelanja. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan kad kredit. Sedar tak sedar, kad kredit anda telah mencapai hadnya bahkan melebihi. Masa itu, barulah nak terngadah dek keborosan berbelanja. Pembiayaan peribadi bukan penyelesaian kepada masalah kewangan. Usah gali lubang untuk tutup lubang. Jika tidak mampu, usah berhutang. PTPTN dan hutang-hutang lain juga jangan lupa dilangsaikan dahulu. Status CCRIS dan CTOS perlu dijaga. Rosak CCRIS, maka hancurlah harapan untuk memiliki rumah idaman.

  1. Tangguh kehendak

Bezakan mana satu keperluan mana satu kehendak. Utamakan dahulu keperluan dan tangguhkan kehendak. Adakah memiliki pakaian baharu setiap kali gaji itu suatu keperluan ? Adakah melancong ke luar mahupun dalam negara setiap kali cuti panjang itu suatu keperluan ? Bukan tidak boleh memanjakan diri dengan berbelanja pakaian baharu ataupun melancong, tetapi untuk mencapai target memiliki rumah sendiri pada usia muda, tangguhkan dahulu segala keseronokan itu. Rumah itu suatu keperluan dan perlu diutamakan. Sampai bila hendak menetap bersama ibubapa ? Adakah setelah mendirikan rumahtangga juga anda akan masih tetap menetap bersama dan membawa anak-anak serta suami atau isteri anda berpindah ke sana ?

  1. Semak kelayakan harga rumah yang layak dimiliki

Semak kelayakan harga rumah yang mampu anda miliki berdasarkan dapatan gaji bulanan anda. Sebagai contoh, jika pendapatan anda layak untuk membeli rumah yang berharga RM150,000, anda perlu ada simpanan deposit rumah lebih kurang 15% daripada harga rumah. Dari situ, anda akan lebih jelas tentang jumlah wang yang patut anda simpan secara bulanan dan tempoh yang anda perlukan untuk mencapai jumlah yang diperlukan.

Speak Your Mind

*