SEPANG INTERNATIONAL CITY (48 BILLION)
BANDAR Sepang bakal berubah wajah sepenuhnya apabila sebuah bandar raya bersepadu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM48 bilion dikenali sebagai Sepang International City dirancang dimajukan di daerah itu.
Bandar raya di kawasan seluas kira-kira 1,600 hektar itu akan dibangunkan oleh cabang hartanah Kumpulan Hong Leong, GuocoLand Malaysia dengan nilai pelaburan RM12.5 bilion dan akan siap sepenuhnya dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.
Ia disasarkan menjadi hab untuk syarikat multinasional serta institusi pengajian tinggi antarabangsa yang berhasrat menjadikan negara ini sebagai pusat operasi serantau masing-masing.Bagi melengkapi lagi pembangunan di kawasan yang terletak lapan kilometer dari pekan Sungai Pelek itu, GuocoLand Malaysia juga akan membangunkan beberapa hartanah kediaman, komersial serta bangunan sokongan lain dalam projek itu.
Rancangan pembangunan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang itu sekali gus akan mengubah sama sekali landskap industri hartanah di Sepang yang sebelum itu lebih banyak tertumpu kepada sokongan sektor penerbangan dan pelancongan.
Projek itu akan dibangunkan di kawasan berdepan pantai sepanjang 15 kilometer dan ia adalah berdasarkan model pembangunan Central Park di bandar raya New York, Amerika Syarikat (AS).
Sepang International City dianggarkan bakal mewujudkan 4,712 pekerjaan baru sehingga 2020 dengan kesan pendapatan negara kasar (PNK) mencecah RM1.34 bilion dalam tempoh sama. Apabila siap kelak, kawasan yang akan menjadi ‘bandar raya baru’ di Lembah Klang itu dianggarkan didiami kira-kira 500,000 penduduk.
Pengarah Urusan GuocoLand Malaysia, Yeow Wai Siaw, berkata projek itu dijangka akan dimulakan dalam tempoh satu setengah tahun lagi selepas semua kertas kerja proses pembangunan yang penting dapat diselesaikan bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
“Buat masa ini, kami juga sedang berunding dengan pelabur antarabangsa yang mahu membuka operasi serantau mereka di Malaysia dan diharapkan mereka juga mendapat kelulusan serta sokongan daripada kerajaan persekutuan dan negeri.
“Kami banyak menerima pertanyaan khususnya pelabur di rantau Asia Timur seperti China, Jepun dan Singapura. Pelabur Jepun, khususnya kini sedang meninjau membuka operasi mereka di negara ini sebagai pelan sokongan selepas bencana alam yang berlaku di negara itu tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman perkembangan terkini Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Petaling Jaya, semalam.
Mengulas lanjut, Wai Siaw berkata Sepang International City juga akan mempunyai infrastruktur bertaraf antarabangsa, termasuk rangkaian pengangkutan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pusat bandar Kuala Lumpur serta kawasan utama lain di seluruh Greater KL dan Lembah Klang.
“Pengumuman tepat pada masanya pembangunan masa depan Sepang melalui projek ini akan mengukuhkan lagi daya tarikan Malaysia sebagai destinasi global serta mengukuhkan lagi aspirasi menjadi negara maju menjelang 2020.
“GuocoLand Malaysia berbangga diberi peluang membangunkan projek berpandangan jauh ini, sekali gus menjadi projek kedua dimajukan kami di bawah ETP selepas rancangan membangunkan projek bersepadu Damansara City yang diumumkan awal tahun lalu,” katanya.
Sumber : Berita Harian
——————————————————————————————————————————————————————–
Sekiranya anda ingin menjual atau membeli rumah/ lot kedai/ tanah boleh hubungi saya Rosniza, 016-2125 909 (Perunding Hartanah Berdaftar). Saya adalah ejen hartanah di kawasan Bandar Baru Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Bandar Seri Putra, Kajang, Putrajaya, Serdang, Nilai, Semenyih, Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Enstek, Kota Warisan, Kota Seriemas, Putrajaya, Cheras, Puchong, Kuala Lumpur, Sendayan, Seremban.
Leave a Reply